Wednesday, August 25, 2010

Pakcik yg gemar berterima kasih

Rutin ramadan setiap hari bermula sesudah sahur. Dengan baju melayu dan kain pelekat, aku dan abang membonceng motosikal menabrak embun kesejukan pagi menuju ke masjid. Alunan azan kadang2 boleh menyebabkan kelajuan motosikal bertambah semata-mata untuk mengejar solat sunat yang fadhilatnya dunia dan isinya.

Alhamdulillah, sempat. Seperti biasa, aku akan mencari port terbaik di sebelah kanan tiang besar, manakala abang di sebelah kiri tiang besar. Kami tidak rancang untuk ini, cuma naluri masing-masing yang berbeza. Seusai solat sunat, aku memerhati ke belakang, kiri dan kanan. Hati mengeluh,"manalah tok imam ni."

Muazzin pun memandang padaku dan aku pura-pura berbuat tidak nampak. Iqamat dilaungkan. Muazzin memandang lagi ke arahku. Kali ini kalau aku  buat-buat tak nampak lagi, memang nak kena lempang. Memahami maksud muazzin itu aku bangun tangkas menyambar microfon mini tersebut. Sepeti biasa, jika imam tua tiada, aku digelar imam muda walaupun telah beruban seperti telah berumur 40-an.

Telah lama rasanya, aku tidak menggunakan doa qunut dalam witir di dalam solat subuh. Aku lebih selesa dengan doa qunut nazilah setelah naqibku meyakinkan yang demikian itu. Jadi, dalam qunut kali ini, aku menggunakan qunut yang jarang didengari mungkin oleh makmum.

Kebiasaan masyarakat melayu, mereka tidak akan bertanya pada perkara yang mereka dapat pelajari secara tidak formal, hanya mengikut. Namun, seusai solat, ada seorang pakcik menghampiri, bersalam dan mengucapakan terima kasih. Kemudian bertanya, "qunut tadi awat pelik semacam?"
"owh, pakcik, ni lah qunut nazilah"
"oh, terima kasih, ha, baguslah."

Jujur, aku agak tercengang dengan ucapan pakcik tersebut, oleh itu aku akhiri dengan senyuman. Dan begitulah rutin ini berulang apabila imam yang dilantik mungkin melanjutkan subuh dirumah setelah qiam.

Tetapi, hari ini, aku menggunakan qunut adat kebiasaan masyarakat melayu, dan pakcik tersebut masih lagi mengucapkan terima kasih, dan aku masih lagi tercengang dengan ucapan pakcik tersebut. Walaupun tidak sempat bersalaman dengan pakcik tersebut di dalam barisan saf, dia akan mencari aku diluar masjid ketika aku sudah bersiap untuk merempit pulang.

Mungkin Allah nak ajar aku ucapkan terima kasih....kerana menurut kajian Fadillah Kamsah, orang bulan November susah untuk berterima kasih. Mungkin kerana itu, aku tercengang selalu.

~dan aku masih tercengang tatkala menulis post ini~

No comments: