Friday, February 19, 2010

Pemuda Bratislava dari Tunisia, Pemuda UK dari Pakistan dan Pemuda-pemuda Czech dari Malaysia

Amir mesyuarat telah menetapkan 2 jemaah untuk keluar bertemu dengan umat islam sekitar Bratislava. Aku sangkakan jemaah yg keluar cuma 6, tapi rupanya 7. Ada tambahan seorang orang tempatan yg menjadi tarjim dalam majlis taklim bersama Syeikh dari Yarmouk University, Jordan.

Pemuda Tunisia bermata biru menarik perhatianku kerana wajahnya umpama punya cahaya yang menyejukkan mana-mana mata yang memandang. Wajahnya juga dihiasi dengan jambang berwarna perang yang aku kira pastinya sukar dijumpai di Asia. Beliau berumur hampir 40-an mampu bertutur dengan fasih dalam 3 bahasa iaitu Arab, Inggeris dan Slovakia. Hatinya cukup lembut dalam menerima teguran dan sindiran daripada syeikh tentang cara berpakaian mengikut sunnah. Selepas tamat taklim, terus dia kembali ke rumah mengenakan pakaian sunnah sebelum waktu solat maghrib menjelang. Anaknya yang comel juga turut menarik perhatianku.

Tayar kereta meluncur licin di atas permukaan ais sebelum aku, rakan seMalayaku, pemuda dari UK dan pemuda bratislava bergerak menaiki kereta untuk melawat muslim-muslim di Comenius University hostel. Dalam hatiku berdetik, inilah peluangku untuk melihat-lihat Bratislava. Namun, tidak pun pemuda Bratislava tersebut berbincang tentang kelebihan tempatnya. Apa yang dibincangkan mengenai keadaan perkembangan muslim di sana. Hatiku terasa dipanah. Dia mengisahkan bagaimana dia berhijrah dari US ke Bratislava kerana panggilan tugas untuk menyebarkan Islam. Dia juga menceritakan pengorbanannya terhadap perniagaannya yang sangat menguntungkan di Tunisia untuk datang ke Bratislava. Bibirnya juga telah meluahkan bagaimana Allah mengurniakannya perniagaan yg lebih menguntungkan di Bratislava. Dalam perjalanan tersebut aku sudah mula mengagumi pemuda tersebut.

Setibanya di hostel, aku disajikan dengan keadaan hostel yg ternyata lebih daif dari hostelku di Neredin. Ibarat seperti masuk ke sarang yang penuh dengan jenayah dan menyeramkan. Namun bagi dua pemuda asing tersebut, tiada yang lebih menakutkan selain Allah dan zikrullah menjadi siulan mereka sepanjang masa. Aku pun diajar untuk mengucapkan zikrullah dan menjaga pandangan ketika berada di tempat asing tersebut.

Kami tiba di sebuah bilik Muslim-Pakistan yg belajar di situ. Setelah dijemput masuk, pemuda Bratislava itu membuka wadahnya dengan selawat ke atas nabi. Aku dapat merasakan kelainan dalam ucapannya. Sesuatu meronta dalam hatiku meminta aku lari dari keadaan dan situasi tersebut. Lalu aku nyahkan rontaan dari elemen yg bernama nafsu itu. Hatiku terasa terbuka dan lapang dadaku untuk menerima sebarang realiti yang cuba pemuda tersebut sampaikan. Yang sebenarnya segala isi ucapan tersebut telahpun pernah aku sampaikan ketika berada di KMB dalam ziarah khususi dan umumi. Tapi kali ini aku merasa lain. Hatiku ibarat menangis apabila pemuda tersebut mengatakan, "When they asked how long have you been in dunia, they replied, only about a day or maybe a little bit less". Tatkala itu aku mempersoalkan diriku, apa yang telah aku lakukan untuk hari yang dikatakan lebih panjang dari dekad-dekadku di dunia ketika aku di Neredin, Olomouc. Banyak masaku untuk dekad-dekadku aku korbankan semata-mata untuk keperluan yang singkat? Berbanding hari yang tiada lagi kematian yang kedua selepas the Resurrection Day.

Sebenarnya, ramai orang di luar sana yang berusaha mengejar akhirat, tetapi kita buta dalam melihat nilainya. Dunia hari ini dan kita memandang pada kekayaan Bill Gates dan keglamouran James Blunt sebagai satu kejayaan abadi yang bersifat relatif. Atau mungkin juga pada kebijaksanaan Albert Einstein pada hukum fizik, bukan pada betapa hampirnya manusia itu dalam bertemu hidayah dari Allah dalam pengakuannya tentang Tuhan.

Aku meninggalkan jemaah untuk pulang ke Neredin pada hari ke-3 kerana hatiku tidak mampu menerima hidayah yang datang secara mendadak. Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini dalam menerima hidayahMu. Sedangkan secara asbab bukit hancur luluh menerima hakikat La Ilaha Illallah, masakan hatiku yang lemah dan longlai dengan segala perasa dunia ini. Kuatkanlah hatiku untuk terus berusaha di Neredin, Olomouc.

No comments: