Friday, October 23, 2009

Allah Punya Cara Untuk Menegur Aku 2

Debaran tatkala menanti keputusan dari si dia.
Perkataan CINTA. Perkataan favourite kebanyakan remaja tatkala umur masih bergetah dan kuat serta muda. Namun, bagiku cinta itu sendiri bagaikan meletakkan satu gunung di atas bahu kanan dan kiriku. Dalam pada itu aku tidak menafikan keinginanku jua untuk memiliki seseorang. Alhamdulillah, sepanjang ujian ini Allah kurniakan kesabaran dalam diriku.

Memang tidak dinafikan, sebagai pelajar dari sekolah lelaki selama lima tahun, berada di KMB merupakan kejutan besar bagiku untuk berhadapan makhluk bernama wanita. Makhluk yg lebih kurangnya sama denganku cuma lebih bersifat ekstrim. Riangnya, menceriakan dunia, murungnya, satu dunia boleh gelap, seriusnya ibarat mendepani satu peperangan antara hidup atau mati satu keluarga dalam satu negara, emosionalnya, seperti general yg sedang mendepani kejatuhan kuasa dan banyak lagi nilai-nilai ekstrim yang melampau.

Memang takdir Allah untuk mengujiku, ditempatkan dalam kelas yg daripada 20 orang cuma 6 lelaki. Tidak cukup dengan itu, wanita-wanita dalam kelas tersebut terdiri daripada beberapa orang yg "bersemangat". "Bersemangat" di sini membawa erti mempunyai nilai-nilai ekstrim seperti yg di atas. Melihat keadaan tersebut terdetik jauh dalam sudut hatiku: Habislah kalau aku menjadi class rep. Alhamdulillah, ujian tersebut belum sampai kepadaku. Namun, yakin dengan ujian yg bakal menimpa, akhirnya ia tetap berlaku. Setelah class rep yg dahulunya dilantik menjadi MPP, sudah tiada yg layak melainkan aku(kata ahli-ahli kelas) dalam hal ini aku tidak pernah yakin aku mampu untuk mengawal setiap perlakuan ahli kelasku, dengan konflik antara yg lelakinya, antara kedua jantina tersebut dan konflik walau antara wanita-wanitanya pun aku tidak jangka berlaku. Namun apabila dicampur dengan tekanan sebagai pelajar IB, aku akui, bukan mudah Dr. Mahathir dan Pak Lah memerintah negara yg ku anggap kecil ini. Masakan pula kalau inginku bandingkan dengan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, yang aku impikan pemerintahan sepertinya suatu hari nanti. Sungguh, Allah telah mengajar aku erti keserabutan dalam mengorganisasikan manusia yg pelbagai.

Percintaan pertamaku juga bermula di sini, Kolej Mara Banting. Alhamdulillah, Allah mengajarkan aku cinta yang tidak lagha. Penuh dengan kesabaran dan kekoyakan. Prinsip cinta yang aku cuba bentuk pada mulanya adalah konsep pembelajaran bersama. Namun ternyata, syaitan cukup licik dalam strateginya. Pada mulanya aku terkandas, pemikiranku melayang berseorangan memikirkan apakah masa depanku. Pada masa itu aku merasakan aku telah matang namun tenyata perasaan aku itu salah. Sungguhpun begitu kesalahan inilah yg mengajarkan aku bagaimana untuk ku tumpahkan rasa cintaku kepada Allah. Contoh yg cukup jelas, apabila perasaan itu bangkit, kita langsung merasakan ada dia memerhatikan kita di mana2 dan kita teringat akannya. Begitulah yg ku rasakan terhadap Tuhanku Allah sekarang ini. Alhamdulillah. Percintaanku dengan manusia ini berakhir dengan aman dan penyelesaian yg mudah Allah berikan kepadaku.

Setelah pengalaman-pengalaman di atas, sampailah kepada pemilihanku untuk benar-benar serius memetik seseorang insan bernama wanita dalam hidupku. Sebagai pelajar perubatan, aku tidak nafikan untuk perkahwinan berlaku semasa belajar dan itulah targetku pada mulanya. Telahku pasangkan niatku sejak aku mula meniti ujian cinta pertama. Pada saat itu juga aku memulakan solat hajat pada setiap malam untuk memohon hidayah dari Allah untuk pemilihan yang tebaik. Kata seorang "orang lama" dalam kerja dakwah: rezeki, jodoh dan mati kita telah ditentukan, oleh itu apabila hendak mendapatkan jodoh sebagai contoh, jangan kejar jodoh itu semata2, kerana itu telah ditetapkan untuk kita. Kejarlah kesukaan Allah agar jodoh itu adalah yg ditentukan ke atas kita yg terbaik dari Allah dan kita redha dalam menerimanya. Setelah genap 2 tahun aku membulatkan tekadku ke atas 4 orang calon yg telah aku senaraipendekkan. Sungguh, antara 4 calon itu, yg 3 daripadanya ada kebaikan dan keburukan yang dapat aku analisa berdasarkan perawakan dan gaya pemakaian. Cuma satu sahaja yg aku rasakan tidak layak untukku kerana terlalu baik pekertinya, pemakaian dan akhlaknya kalau dibandingkan dengan diri ini. Tambahan pula cuma yg terlalu baik itulah yang tidak pernah aku jumpa atau kenal sangat dengannya. Tidak banyak maklumat tentang dirinya. Lalu memang telahku yakin pada diriku bahawa dia bukanlah jodohku. Namun, sungguh, Allah ingin mengingatkan aku bahawa jodoh di tangannya.

Tatkala menghampiri IB exam, Allah mengurniakan aku dengan orang tengah. Seseorang lelaki yang dalam proses bertunang menawarkan dirinya untuk aku memetik hati seorang muslimah. Muslimah yang dalam senaraiku yg telah ku tolak tepi kerana terlalu baik bagiku aku rasa. Aku menangguhkan dulu hasrat tersebut kerana peperiksaan universiti dan IB sedang berlangsung dengan galaknya. setelah tamat kertas terakhir BMSL kalau tidak silap, setelah petunjuk yg ku mohon selama 2 tahun, akhirnya aku tekad untuk menambat pilihanku. Lantas aku meminta bantuan orang tengah tersebut dan dia bersetuju. Masa seminggu dipinta oleh muslimah tersebut untuk membuat keputusan. Masa tersebut adalah masa aku berada dalam Kem BTN. Namun tidak langsung ku fikirkan pada akhirnya pinanganku tersebut diterima dengan lafaz KERANA ALLAH. Sungguh, Allah ingin mengingatkan ku kepada dimana aku letakkan yakinku. Alhamdulillah.

Sungguh, apabila difikirkan semula, prosesnya bukanlah semudah menghasilkan Copper (II) Sulphate dalam larutan kimia Copper (II) Nitrate dan Potassium Sulphate. Tapi ia merupakan satu pengajaran kehidupan yang panjang yang apabila dihuraikan, jawapannya kembali kepada Kehebatan Allah dalam mengaturkan segala kehidupan tanpa keserabutan. Alhamdulillah kerana hidupku dipandu Allah.

perjalanannya masih panjang yang perlu ku tempuh...cari kesukaan Allah nescaya tiada ruginya...

No comments: